Feb 17, 2009

cabaran, dicabar, t'cabar...


Untuk memastikan Wawasan 2020 tercapai, pihak kerajaan tidak hanya mementingkan peningkatan prestasi negara dari segi ekonomi dan politik tetapi juga amat menekankan kerohanian dan sosial yang dapat dibentuk dari pendidikan yang sempurna. Oleh itu, Wawasan Pendidikan iaitu perpaduan, pengurusan dan kepimpinan, perkhidmatan penyayang, pengupayaan (empowerment), budaya ilmu, sekolah penyayang dan budaya cemerlang telah diwujudkan. Terdapat 14 Sasaran Kerja Utama yang telah digariskan oleh KPM dan ia merupakan strategi yang dirancang untuk melaksanakan Wawasan Pendidikan. Guru perlulah memainkan peranan yang penting dalam mendidik pelajar bagi menyediakan mereka dengan pengetahuan dan pengalaman untuk memenuhi keperluan negara dan bagi menyempurnakan hasrat ini, guru mestilah mempunyai kekuatan emosi dan jasmani dalam menghadapi segala cabaran yang akan mereka tempuhi.

Cara pemikiran pelajar pada masa kini amatlah berbeza dengan cara pemikiran pelajar pada masa dahulu. Hal ini merujuk kepada isu-isu masalah pelajar yang serius dan sering berlaku di negara kita. Sebagai contoh, pada tiga (3) minggu pertama tempoh persekolahan pada tahun lalu, seramai lebih 3500 orang pelajar telah dibuang sekolah dan 7500 orang pelajar lagi digantung persekolahan mereka. Sebahagian besar mereka yang dikenakan hukuman-hukuman ini terlibat dengan kesalahan ponteng sekolah. Daripada lapan jenis salah laku disiplin yang telah disenaraikan Kementerian Pelajaran, ponteng berada di tangga kedua terbanyak selepas kurang sopan, diikuti berunsur jenayah, tidak pentingkan masa, kekemasan diri, kenakalan, laku musnah dan berunsur kelucahan. Selain itu, terdapat juga kes guru diserang oleh pelajar mereka atas alasan yang tidak relevan seperti ditegur oleh guru.

Jika hendak dibandingkan dengan pelajar sekolah pada zaman dahulu, mereka telah didik oleh ibu bapa untuk lebih menghormati guru yang bertungkus-lumus memberikan ilmu dan pengajaran kepada mereka. Oleh itu, masalah disiplin pada masa dahulu kurang atau tiada kerana pelajar-pelajar ini takut dan sangat menghormati guru dan ibu bapa mereka. Berdasarkan kajian, antara faktor-faktor yang menyumbang ke arah peningkatan masalah disiplin remaja terutamanya pelajar sekolah ialah pendedahan media massa yang meluas. Terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan adalah tidak semua berita atau infomasi yang disalurkan oleh media massa sesuai dengan tahap pemikiran dan penerimaan pelajar. Segelintirnya mendedahkan remaja dengan aksi-aksi yang ganas dan berbahaya dan ini akan menyumbang ke arah keruntuhan akhlak seiring dengan permodenan dan reformasi sosial.

Sebagai guru, masalah ini merupakan cabaran yang besar kepada mereka untuk membentuk nilai-nilai murni di dalam setiap pelajar. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi menyarankan guru agar lebih memberi penekanan mengenai pembangunan modal insan. Ini menunjukkan peranan guru untuk melahirkan pelajar yang benar-benar menghayati nilai insaniah diri. Selain itu, terdapat juga cabaran-cabaran lain yang terpaksa ditempuhi oleh guru.

Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menyukarkan lagi situasi dan pengajaran guru. Ini kerana, tidak semua guru fasih berbahasa Inggeris dengan lancar walaupun guru tersebut berpengalaman dan mahir dalam bidang pengajaran mereka sendiri. Kelebihan ini tidak dapat memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran subjek Matematik dan Sains berjalan lancar dan berkesan.

Sekiranya sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas tidak mencapai objektif dan kurang berkesan, ilmu dan infomasi yang ingin disampaikan oleh guru tidak akan diterima oleh pelajar dengan sempurna dan pelajar tidak akan faham dengan sesuatu topik. Akhirnya, mereka akan terkandas dalam ujian dan peperiksaan. Tujuan perlaksanaan ujian dan peperiksaan adalah untuk menguji tahap akademik pelajar pada satu aspek pada satu masa. Contohnya, peperiksaan Matematik. Pelajar hanya akan diuji cara penyelesaian masalah yang melibatkan pengiraan Matematik dan logik. Jika peperiksaan ini dijalankan dalam bahasa Inggeris, pelajar bukan sahaja diuji pemikiran logik dan kaedah penyelesaian masalah tetapi tahap pemahaman bahasa mereka juga turut diuji. Ini akan menyebabkan prestasi pendidikan mereka turun dan guru yang akan menanggung segala masalah yang wujud samada dari pihak atasan ataupun dari pihak ibu bapa. Semua pihak akan merasa bangga sekiranya anak-anak iaitu para pelajar mencapai pencapaian yang tinggi tetapi jika sebaliknya, guru yang akan dipersalahkan kerana tidak tahu mengajar pelajar. Guru terpaksa memikul tanggungjawab yang besar mendidik pelajar dan memastikan prestasi pelajar dan sekolah dalam bidang akademik dan kokurikulum di tahap yang bagus dan membanggakan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...